18 Disember 2021

Keberangkatan jemaah umrah Indonesia ditangguh sehingga 2022

 

Pelaksanaan umrah ketika pandemik juga menjadi titik tolak pelaksanaan ibadah haji pada tahun 2022. - AFP

JAKARTA – Pemerintah Indonesia mengumumkan penangguhan keberangkatan jemaah umrah negara berkenaan ke kota suci Mekah  sehingga tahun 2022, lapor laman berita Merdeka.com.

Pengumuman itu dilakukan susulan rayuan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan arahan Menteri Agama, Yaqut Choilil Qoumas supaya orang ramai tidak melancong ke luar negara. Perkara itu dibincangkan ketika pertemuan dengan Persatuan Penganjur Kembara Umrah (PPIU).

Ketua Pengarah Haji dan Umrah (PHU) di Kementerian Agama, Hilman Latief berkata, keputusan menangguhkan ibadah umrah itu adalah untuk mengutamakan perlindungan jemaah di tengah-tengah pandemik Covid-19 terutama selepas kemunculan varian baharu Omicron.

‘’Persatuan PPIU menyokong saranan pemerintah  untuk menangguhkan pelepasan ke luar negara. Biarpun rancangan umrah tertangguh lagi, semua pihak perlu faham bahawa pandemik masih belum berakhir, malah varian baharu telah muncul.

‘’Ada harapan pelepasan dilakukan walaupun jumlahnya berkurangan. Tetapi secara umumnya, persatuan PPIU memahami dan mematuhi rayuan untuk tidak ke luar negara,’’ jelasnya.

Beliau berharap rayuan larangan perjalanan ke luar negara bukan sahaja terpakai kepada jemaah umrah, tetapi juga kepada semua rancangan penerbangan ke luar negara.

Hilman menyambung, sebagai pengawal selia dan penyelia pelaksanaan ibadah umrah, Kementerian Agama terus berkoordinasi dengan semua pihak berkaitan untuk terus berusaha ke arah pelaksanaan umrah yang sihat dan selamat.

Pelaksanaan umrah ketika pandemik juga menjadi titik tolak pelaksanaan ibadah haji pada tahun 2022.

‘’Penangguhan ini sememangnya satu keputusan yang pahit. tetapi dilakukan untuk kebaikan bersama. Kami berharap semua dapat memahami dan semoga ada pengajaran daripada keputusan ini,’’ tegas Hilman. – Agensi

Tiada ulasan: